Abdullah bin Abbas telah menceritakan sebuah kisah bahawa pada suatu hari Abu Bakar keluar pada waktu tengahari yang cukup membahang menuju ke masjid, maka ketika itu Umar Al-Khattab melihatnya seraya bertanya,” wahai Abu Bakar, apa yang menyebabkan kamu keluar pada waktu begini?” Lalu Abu Bakar menjawab,” tiada apa yang menyebabkan aku keluar melainkan kerana aku teramat lapar.” Umar pun berkata,” dan aku juga sedemikian.” Ketika mereka berdua dalam keadaan begitu, keluarlah Rasulullah ke arah mereka berdua, lalu berkata” apa yang menyebabkan kamu berdua keluar?” Lalu mereka menjawab,” Demi Allah, tiada yang menyebabkan kami keluar pada waktu begini melainkan kerana kami teramat lapar.” Rasulullah berkata,” Dan aku yang demi diriku di tanganNya, tiada yang menyebabkan aku keluar pada waktu begini melainkan kerana hal tersebut juga. Ayuh,bangunlah bersamaku.”
Maka mereka beredar ke rumah Abu Ayyub Al-Ansooree, lalu mengetuk pintu rumahnya. Maka ketika itu Ummu Ayyub keluar lantas mengalu-alukan kedatangan mereka,” Selamat datang wahai Rasulullah dan sahabatnya.”
Abu Ayyub mendengar suara nabi, dia pada ketika itu sedang bekerja di kebun nakhl (kurma) yang berhampiran rumahnya. Lalu dia bergegas pulang sambil mengalu-alukan kedatangan baginda,” Selamat datang Rasulullah dan juga yang bersamanya.
Kemudian dia menyambung lagi,” Wahai Nabi Allah, bukanlah kebiasaanmu datang pada waktu sebegini”. Lalu Baginda menjawab,” Benar kata-katamu”.
Kemudian.tanpa berlengah-lengah Abu Ayyub terus pergi ke kebunnya dan memotong setandan daripada pohon kurma yang buahnya sudah ada yang masak kering(tamar), dan yang baru masak(ruthob) dan juga yang hampir-hampir masak(busr). Lalu dihidangkan kepada Rasulullah dan sahabatnya Abu Bakar serta Umar.
Lalu Rasulullah menegurnya,” Aku tidak mengharapkan hidangan sebegini rupa, cukuplah kamu memetik untuk kami buah tamarnya sahaja!?” Abu Ayyub lalu berkata,” Wahai Rasulullah, aku amat suka dan berharap supaya kamu makan tamarnya, ruthobnya dan juga yang hampir masak ini. Dan aku juga akan menyembelih ternakanku untuk hidanganmu.
Baginda pun berkata,” Jika kamu mahu sembelih janganlah mengambil yang mempunyai susu(hamil). Maka Abu Ayyub pun memilih seekor kambing jantan lalu disembelihnya. Kemudian dia berkata kepada isterinya,” Adunlah tepung dan buatlah roti untuk kami semua.” Lalu Abu Ayyub mengambil separuh daripada kambing tadi dan memasakkannya, manakala separuh lainnya diambil untuk dipanggang.
Setelah makanan siap dimasak, ia dihidangkan kepada Rasulullah dan dua sahabatnya tadi. Rasulullah pun mengambil sebahagian isi kambing tadi dan meletakkannya ke dalam roti. Lalu baginda berkata kepada Abu Ayyub,” Wahai Abu Ayyub, bawalah bahagian makanan ini kepada anakku Fatimah, sesungguhnya dia tidak menjamah makanan seperti ini sejak sekian lama.
Maka setelah mereka selesai makan , baginda Rasulullah bersabda,
“Roti, daging, tamar, busr dan ruthob!! , dan kedua-dua belah matanya mengalirkan airmata, kemudian baginda menyambung,” dan demi diriku ditanganNya,sesungguhnya inilah dia nikmat yang kamu semua akan ditanya tentangnya pada hari kiamat kelak.”

Dalam kisah ada pengajaran dan teladan
Kisah yang mempunyai seribu pengertian. Setiap perbuatan dan tingkah-laku baginda pasti ada pengajaran. Kasihnya kepada Fatimah menjadikan Baginda seorang bapa yang prihatin dan penyayang, mendahulukan ahli keluarganya daripada dirinya sendiri.Airmatanya amat mudah mengalir bila mengenangkan nikmat pemberian yang melimpah, yang semua itu akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah kelak.
Kasihnya kepada para sahabatnya, menjadikan Baginda seorang teman yang amat sukar dicari ganti.
Inilah kisah di antara kisah-kisah seorang pesuruh Allah, contoh ikutan yang tiada bandingannya. Contoh teladannya mencakupi segala aspek kehidupan. Menjadi sumber inspirasi bagi mereka yang mencari dan mahukan model terbaik.
Dialah Rasulullah. Insan terpilih yang akhlaknya dipuji oleh Maha Sempurna.
Apabila melihat manusia tawaduk dan rendah diri, maka bagindalah orang yang paling tawaduk dan rendah diri.
” Siapalah aku, melainkan anak lelaki seorang wanita yang makan daging kering ketika di Makkah.”
Dan ketika peperangan berkecamuk, maka orang yang paling berani ialah mereka yang berada berhampiran Rasulullah.
Dan apabila manusia kelaparan, bagindalah orang yang pertama yang berlapar. Dan apabila mereka sudah kekenyangan, bagindalah orang terakhir yang merasainya.
Dan jika seseorang bertanya : Bagaimanakah Rasulullah mampu mengubah dunia dengan hanya jumlah pengikutnya yang kecil?
Lalu jawapannya ialah kerana Baginda sendiri adalah contoh ikutan yang teragung. Maka para pengikutnya dididik di dalam tarbiyah nabawiyyah kemudian mencontohi baginda lalu jadilah mereka semua pemimpin-pemimpin yang disegani, yang kemudiannya memimpin para ummah dari timur hingga ke barat. Begitulah, kekuatan teladan dan contoh kehidupan Rasulullah yang menjadi sumber inspirasi para sahabat selepasnya untuk meneruskan misi menyebarkan seruan kalimah suci Laa Ilaaha IllAllah, Muhammad Rasulullah sehingga berjaya menjadi sebuah tamadun yang amat disegani dan dihormati.
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”.-Al-Ahzaab:21.
Oleh itu, sama- sama kita renung dan tanya diri masing-masing;
Tidakkah Rasulullah mampu untuk tinggal di dalam istana? yang penuh kemewahan? yang mempunyai segala-galanya?dan memakan seenak-enak makanan? Jawapannya tentu sekali boleh. Namun Baginda tidak mengharapkan semua itu kerana Baginda diutuskan untuk menjadi contoh ikutan bagi semua lapisan manusia yang hidup pada zamannya dan juga generasi yang akan datang.
Dan lihat pula para sahabatnya,bukankah Abu Bakar seorang saudagar yang kaya? Ke manakah perginya semua harta Umar Al-Khattab? Semua itu sudah menjadi milik Allah dan RasulNya. Hanya keredaan Allah yang mereka cari.
Inilah sebuah ikutan yang hampir tidak dipandang pada masa kini,yang sudah dilupakan,yang sudah biarkan tersadai lapuk di dalam buku-buku sirah sahaja tanpa dijadikan sebuah realiti di dalam kehidupan.
Ayuh! Kita semua umat Islam… Bangkit kembali…
Diterjemah dan diolah dari buku bahasa arab- Attarbiyyah bi Alqudwah, Us.Mustafa Muhammad Attahhan.