Jangan Terus Tersungkur, Bangkitlah!
Hidup kita memang tidak pernah sunyi dari ujian dan masalah. Masalah memang aneh, ia mampu membuatkan kita putus asa, jatuh dan tersungkur. Walaupun dalam setiap hati sudah mengetahui, bahawa ujian adalah rempah dan warna kehidupan, dan Allah SWT sendiri telah menukilkan dalam KitabNya,
“janganlah kamu mengaku beriman sebelum kamu diuji..”(Al Ankabut:2),
kita tetap juga tidak dapat lari dari perasaan ‘down’ yang teramat.
Berasa sedih dan kecewa itu tidak salah, kerana Allah memang menciptakan kita dengan seribu satu perasaan, tetapi yang salah ialah apabila kita berterusan dibelenggu rasa kecewa dan duka sehingga kita takut untuk bangkit lagi.
Maka hari ini, berhentilah dari rasa kecewa, tinggalkan segala perkara yang berlaku dibelakang kita dan bangkitlah. Walaupun begitu, janganlah kita lupa pada yang telah berlalu itu kerana apa yang berlaku di belakang adalah yang membentuk kita pada hari ini.
Katakan pada diri, ‘aku akan terus bangun, berdiri dan berlari, kerana aku bukan lemah!’
Dan ingatlah, Allah sendiri telah berjanji dalam firmanNya:
“….Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka sendiri mengubah nasib mereka….” (Ar-Ra’du:11)
Sekali lagi inspirasi membawakan anda satu video, bagaimana Nick Vujicic yang tidak memiliki tangan dan kaki menunjukkan kepada kita, bahawa ketiadaan dua anggota tersebut tidak sesekali pun akan menghalang dia untuk terus bangun dan berdiri.
Nikmatilah.
